Saturday, May 15, 2010

PUB yang HALAL!!

LONDON: 'Halal Inn' adalah pub pertama untuk orang Islam di Britain.
Persekitarannya sama seperti pub biasa dengan ada snek, meja snuker dan
muzik dimainkan sebagai latar belakang, tetapi yang berbeza ialah ia tidak
menghidangkan bir atau sebarang alkohol lain. Malah, Halal Inn dibuka
hanya untuk pengunjung yang tidak menggemari minuman beralkohol. Ia dibuka
Disember lalu di Oldham dan walaupun perniagaannya tidak begitu laris, ia
tetap mendapat sambutan.

Di belakang bar ada minuman ringan dan jus buah-buahan. Sebagai tambahan
kepada teh dan kopi, pelbagai snek Asia juga tersedia, manakala lagu
bercorak Islam dimainkan menerusi pembesar suara. Pengunjung masih boleh
bermain snuker, membaling damak atau karom, permainan papan India yang
hampir sama dengan permainan billiard. Malah kuiz bertemakan Islam turut
dianjurkan.

Pemilik pub yang unik itu, Azizur Rahman dan rakan perniagaannya, Muzahid
Khan melihat potensi di tapak bekas kelab malam Westwood Inn itu yang
terbiar kosong di pinggir pusat bandar.

"Penduduk Islam adalah antara kumpulan pengguna terbesar dan mereka
memerlukan tempat berehat dan bersosial seperti juga orang lain. Namun,
kehadiran alkohol bermakna kelab malam biasa tidak akan dikunjungi oleh
mereka yang mengikut ajaran Islam, jadi ini adalah tempat yang sesuai
untuk mereka.

"Semakin banyak kelab malam ditutup di seluruh negara dan kami percaya
menukar ia kepada kelab malam berunsurkan Islam akan berjaya di mana saja
yang mempunyai komuniti Islam yang besar," kata Muzahid.

Walaupun kelab malam itu, seperti banyak versi tradisional Britain lain,
jelas dikuasai lelaki, tiada larangan untuk pengunjung wanita. Pelayan
bar, Ali Yaris, 44, berkata: "Penduduk tempatan menyokong penubuhan kelab
ini, walaupun kadangkala ia menyebabkan kekeliruan. Sebagai contoh,
seorang lelaki datang pada satu malam dan terus memesan alkohol.

"Kemudian dia menyedari di sini tidak akan mesin mengepam bir malah botol
alkohol pun tidak ada. Kami cuma ketawa. Saya pasti dia akan ke kelab
malam lain."

Kelab itu turut memiliki liga snuker sendiri dengan kira-kira 20 peserta
menetapkan matlamat menjadi juara pertama. Seorang pekerja pejabat,
Mohammed Ali, 27, berkata beliau menikmati permainan yang menyenangkan
selepas kerja.

"Selalunya ia adalah gabungan ramai orang, tidak semuanya Islam. Ia memang
tempat yang begitu sosial. Ia berbeza dengan kelab malam biasa kerana anda
tidak mabuk dan tidak bertindak liar. Saya berasa ia idea yang bijak,"
katanya.

Seorang pelanggan tetap kelab itu, Abdus Shahid, 29, berkata ia seperti
kelab malam lain cuma tidak menjual alkohol.

"Kami ke sini untuk berehat, bermain snuker dan bertemu dengan rakan
selepas seharian bekerja. Saya rasa tujuan utama mengunjungi kelab malam
biasa ialah untuk minum, tetapi di sini cuma untuk bertemu rakan dan
berehat," katanya.

No comments: