Wednesday, March 19, 2008

jujurnya dia.............. (atau geram sebenarnya.. muahahahaha)

Khairy tidak mahu jadi menteri selagi...
KUALA LUMPUR 18 Mac – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menegaskan beliau tidak akan menerima sebarang jawatan menteri selagi bapa mentuanya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.
Menurut Khairy, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Abdullah untuk menolak sebarang jawatan bagi mengelak sebarang isu timbul di kemudian hari.
‘‘Selagi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, saya tidak akan menjadi anggota pentadbiran negara.
‘‘Saya beritahu Perdana Menteri yang saya lebih suka diberi peranan ahli Parlimen untuk membahaskan isu-isu penting dan berdepan dengan pembangkang terutama selepas ramai wakil rakyat di kalangan mereka,’’ katanya selepas mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Khairy berkata demikian sebagai mengulas tindakan Perdana Menteri yang tidak menyenaraikan namanya untuk sebarang jawatan dalam Kabinet yang diumumkan hari ini.
Ditanya tentang reaksi Perdana Menteri mengenai hasratnya itu, Khairy yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO berkata, Abdullah memberi reaksi positif.
‘‘Perdana Menteri terima dan berpuas hati dengan hasrat saya ingin menjadi ahli Parlimen biasa. Lagipun, bukan tidak ada peranan langsung di Parlimen.
‘‘Siapa yang akan berdebat kalau semua orang ingin menjadi menteri. Lagipun apa salah kalau menjadi wakil rakyat. Kita perlu berbangga apa,’’ jelasnya.
Ditanya mengenai hasratnya untuk menjadi menteri yang akan mengambil masa yang agak lama selepas Perdana Menteri bersara, Khairy memberitahu, ia bergantung kepada peluang dan keadaan pada masa itu.
‘‘Selepas Perdana Menteri bersara, saya akan fikir perkara ini. Itu pun bergantung kepada keadaan saya dalam kancah politik tanah air. Kita akan lihat, tetapi setakat ini, saya akan kekal menjadi ahli Parlimen biasa,’’ ujarnya..
Mengenai tanggapan yang mengaitkan Perdana Menteri dan beliau sebagai punca kemerosotan sokongan rakyat terhadap BN, Khairy berkata, sekarang bukanlah masa untuk menuding jari kepada sesiapa.
‘‘ Adalah tidak adil untuk meletakkan semua beban kekalahan parti kepada saya seorang sahaja.
‘‘Saya rasa kita perlu fokus kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh parti dan UMNO untuk kembalikan keyakinan rakyat kepada kita,’’ ujarnya.
Beliau turut menghormati ketetapan Pemuda UMNO yang tidak akan mengambil tindakan terhadap Datuk Mukhriz Mahathir berhubung tindakan menulis surat menuntut Perdana Menteri meletak jawatan.
Katanya, sekarang bukan masa yang sesuai untuk mengambil tindakan terhadap Mukhriz kerana Pemuda UMNO perlu menyelesaikan pelbagai perkara yang penting pada masa hadapan.
‘‘Mesyuarat Pemuda UMNO juga mengatakan ia hanya pandangan peribadinya sahaja dan dia sendiri tidak sedar bagaimana ia boleh tersebar dan dia mengakuinya sendiri,’’ ujarnya.

(sumber: http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0319&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_05.htm )

No comments: